Tepat 1 tahun yang lalu..
Masih di bulan Ramadhan, seperti biasa sesudah subuh, sebelum ke makmal Analytical Chemistry, saya beriktikaf di masjid Unimas, lebih kurang jam 10 pagi. , dek kerana keletihan, saya tertidur di lantai masjid, tiba tiba ada sms masuk
" Hafiz, ibu nak bagitau, Dikni dah masuk labour room, ibu hantarkan pagi tadi, di Hospital Kajang"..kiriman sms dari ibu saya
Saya masih tidur, langsung tak perasan ada sms masuk, tambahan lagi saya biarkan Handphone saya dalam silent mode. Masuk sms yang kedua
" Abang, doakan dikni, halalkan makan minum dikni, dikni minta maaf banyak banyak, dikni sekarang dah di labour room"..kiriman sms dari isteri saya
Tak lama kemudian saya terjaga, langsung saya membaca sms, alangkah terkejutnya saya kerana isteri saya masih berbaki sebulan setengah lagi dari tarikh duenya, tak sangka akan beranak sebegini awal
Saya terus menelefon isteri saya, tak berangkat, kemudian saya menelefon ibu saya
"bagaimana keadaan Dikni bu?"..tanya saya
"Dikni ibu dah hantar ke labour room tadi, semalam ada contraction dan rahim pun dah terbuka"..jawab ibu saya
Sekali lagi saya menelefon isteri saya, Alhamdulillah kali ini berjawab, saya tiupkan kata kata semangat untuk dia berjuang. Ya berjuang, berjuang untuk melahirkan seorang Mujahid. Saya hanya pasrah, menerima segala ketentuan Ilahi.
Saya berwuduk, kemudian solat hajat mohon Allah mudahkan segalanya. Dalam sujud saya tak berhenti henti berdoa, tanpa disedari air mata saya mengalir terkenangkan segala nikmat dan kurniaan yang Allah kurniakan kepada saya. Nikmat kebahagiaan berumah tangga yang jarang dikecapi oleh pemuda lain seusia saya. Kurniaan Allah yang telah membuatkan saya dewasa dan sedikit matang dalam berfikir walaupun baru berusia 21 tahun. Juga nikmat dikurniaknan isteri solehah yang tidak pernah mengingkari saya walau sekali, yang sering menghiburkan saya dengan nyanyian nyanyiannya yang melembutkan hati.
Dan diantara tanda tanda (kebesaran-NYA) ialah dia menciptakan pasangan pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram padanya, dan dia menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh pada yang demikian itu benar benar terdapat tanda tanda kebesaran Allah bagi kaum yang berfikir (Ar-Rum 30:21)
Jam 12 tengah hari,
Saya menelefon ibu saya semula, tanyakan khabar tentang isteri dan anak saya.
Macam mana ibu dengan dikni, dah bersalin?"..tanya saya
"Alhamdulillah sudah tadi, dikni alhamdulillah o.k, tengah tidur kepenatan, cuma...cuma..baby ada masalah sikit"..jawab ibu saya
Masalah apa ibu?.. saya bertanya
"Abnormal sikit, dia flat, usus nya di luar bukan di dalam, tambahan lagi dia premature jadi dimasukkan ke ICU, petang ini pihak hospital akan bawa ke Hospital Kula Lumpur untuk operation memasukkan usus"..ibu saya menerangkan
Saya pasrah dan redha dengan ketentuannya, saya bersyukur kerana isteri saya selamat, tentang baby saya serahkan kepada Allah, kerana dialah pemiliknya yang sebenar, saya hanyalah orang yang diamanahkan untuk menjaganya.
Kemudian saya menelefon mak saudara saya yang saya panggil sebagai Mak Lang, kebetulan dia bertugas sebagai doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL), saya memintanya untuk tolong apa yang patut..
Tak lupa juga, saya pesankan kepada ayah saya untuk mengazankan ke telinga anak saya..
Jam 9 malam, ketika operation,
Malam tersebut saya hanya mampu berdoa supaya Allah lancarkan segalanya. Kebetulan malam itu saya ada halaqah bersama ikhwah ikhwah Medic, saya juga mohon mereka berdoa bersama saya.
Yang paling mengharukan saya, ketika ikhwah ikhwah dan akhwat memberi kiriman sms kepada saya mendoakan ketabahan saya dan isteri dan ramai juga yang menelefon
Sungguh peristiwa ini takkan pernah luput dari ingatan saya, saya mendapat sms dari ikwah dan akhawat dari Perlis utara semenanjung hinggalah ke Sabah. Semua sms yag dikirim menaikkan semangat saya dan benar benar memotivasikan saya. Oh! sungguh indah berukhwah keana-Mu Ya Allah..
Malam tersebut, dalam tahajud saya pasrahkan segala galanya kepada Allah, dan siap menerima segala ketentuaNYA..
Keesokannnya..
Saya sudah bersiap untuk pulang ke Kajang dari Sarawak, jutaan terima kasih buat Mak lang saya yang telah membelikan tiket untuk saya pergi dan pulang. Sungguh, saya akan kenang sebagai memori terindah kerana memang di saat itu saya langsung tak berduit..
Turun saja dari flight, saya mendapat kiriman sms dari Mak lang saya
" Mak lang sudah ziarah baby tadi kat Hospital, kebetulan masa Mak lang pergi tu ada pakar, Alhamdulillah, baby sudah selamat operation, usus berjaya dimasukkan sepenuhnya, dan pusat pun dah cantik"..
Saya hanya mampu bersyukur dan menangis tika itu
" Maha suci Allah yang menciptakan manusia dengan sebaik baik kejadian"..demikian bisikan hati saya
Seminggu sesudah operation,
Anak saya, saya namakan dengan Muhammad Ammar Ar-Ridho, inspirasi dari Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, seorang tokoh Ikhwanul Muslimin di Iraq. Saya namakan dengan Ar-Ridho, mudah mudahan dia rido dengan ketentuan Allah terhadap dirinya.
Keadaan Ammar bertambah baik, sudah mula minum susu ibu setelah seminggu berpuasa, tetapi masih melaui tiub yang disalurkan langsung ke perutnya.
Ammar sudah mula senyum, teringat saya waktu saya menziarahinya dengan sepupu saya. Semasa saya datang saya dengar dia menangis dan terus menangis, bila ternampak saja saya dia terus diam, demikian juga bila umminya datang. Dia juga akan berhenti menangis bila tangan umminya menyentuh tubuhnya dan akan sangat selesa bila didukung.
Saya sedikit hairan, bagaimana dia bisa membezakan sentuhan umminya dengan sentuhan para jururawat yang lain!. Sungguh kasih sayang seorang ibu takkan pernah dapat dinilai..demikian sifat rahmah yang Allah kurniakan pada hambanya.
Melihat keadaannya yang semakin baik, saya sedikit selesa untuk pulang semula ke Sarawak Walaupun agak berat untuk berpisah, terutama dengan isteri yang masih dalam pantang dan anak yang masih di Hospital, namun saya gagahkan juga dek mengenangkan tanggungjwab dan amanah yang perlu saya siapkan di Sarawak. Ya, 'amanah' yang akan dipertanyakan Allah di akhirat kelak.
Saya bercadang untuk pulang semula pada hari raya.
Selepas hari raya,
Seminggu saya bercuti untuk hari Raya, menemankan isteri dan anak saya yang masih di HKL. Pada hari hari terakhir cuti saya, keadaan Ammar mula kritikal. Kandungan hemoglobin dalam darah mula berkurangan secara tiba tiba dan platelet juga menyusut. Susu terpaksa dihentikan dan Ammar dikehendaki berpuasa semula.
Saya mula khuatir
"Apa masalahnya Dr?".. saya bertanya
Kami pun tak dapat kenal pasti lagi, kemungkinan ususnya bermasalah. Insya Allah kami akan X-ray dan buat ultra sound untuk kenal pasti masaalah"..Dr menerangkan
Saya redha saja, walaupun saya tahu effect dari sinar radioaktif X-ray.Namun, andai itu saja caranya..
Setelah X-ray dan Ultrasound, Dr masih belum dapat mengenal pasti masalah. Sudah banyak darah dan platelet dibekalkan ke badan Ammar tapi masih tak cukup.
Jadi macam mana Dr?..saya bertanya
"OPERATION, itu saja caranya, risiko hidup 50%"..Dr menjelaskan
Saya redha walaupun terluka, operation untuk kedua kalinya. Saya sedia maklum akan kesan operation terhadap bayi, terutama apabila dibius. Bayi boleh cacat dan akan memberikan kesan kepada otak. Kemungkinan juga bayi akan trauma.
"Inna lillahi wa inna Ilaihi rajiun"..demikian keluh saya, seperti apa yang diajarkan Al Quran kepada sesiapa yang diterima musibah
Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar yang apabila ditimpa musibah berkata ' Inna lillahi wa inna Ilaihi Rajiun' Sesunggguhnya kami milik Allah dan kepadaNYA lah kami kembali. (Al-Baqarah 2:155-156 )
Ketika operation, saya solat hajat di surau, mohon Allah kuatkan saya dan isteri walau apa pun keputusannya nanti..
Dan Alhamdulillah, Ammar berjaya dioperate, cuma masalah sebenar masih belum diketahui, ususnya tiada masalah yang besar tapi keadaan masih kritikal.
"Kita hanya boleh tunngu dan lihat bagaimana progressya nanti", salah seorang Dr memberitahu saya
Ya, hanya tunggu dan lihat, buntu saya jadinya, tambahan pula saya sudah perlu pulang ke Sarawak
Sekali lagi saya terpaksa meninggalkan isteri saya yang tengah berduka dan anak saya yang masih kritikal. Saya tiada pilihan, tugas saya sebagai Research assistant waktu itu membuatkan saya perlu balik, ditambah lagi dengan tugasan tugasan dakwah yang tertangguh.
Semasa di Sarawak
Hampir setiap malam saya bangun bertahajud memohon kesudahan dari cerita Ammar. Saya berdoa supaya Allah memberikan jalan keluar sambil bermuhasabah diri. Allah pasti akan kurniakan jalan keluar kepada hambanya yang bertakwa
..Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala masalah dan perkara yang menyusahkannya), dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka sangka... ( At-Thalaq 65:2-3)
"Adakah saya terlalu jauh dengan Allah sehingga Allah menelantarkan saya? Apakah dosa dosa saya dan isteri telah menjauhkan saya daripada Allah? Apakah sudah hilang perasaan cinta saya padaNYA?, Sudahkah saya menjadi hambanya yang bertakwa?"..Saya bermonolog sendirian.
Sungguh peristiwa ini benar benar telah menyedarkan status saya sebagai Hamba Rabbu Jalil. Seorang hamba yang tidak mampu berbuat apa apa ketika Rabbnya mengkendaki sesuatu
“Sesungguhnya urusan-Nya, apabila Dia mengkehendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya , “Jadilah!” maka jadilah sesuatu itu. Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan.” (Yaasiin 36:82-83)
20 oktober 2008
Kalau dihitung, sudah 46 hari usia Ammar, namun hidupnya hanya dihiasi dengan dinding kaca incubator, masih belum dapat merasa kelazatan susu umminya, badannya cuma dipakaikan dengan jarum jarum suntikan yang berserakan, sekejap terjaga dan kemudiaanya menangis, mungkin merenung masa depannya yang entah bagaimana..
Saya hilang fokus, saya hanya mampu berdoa..
"Ya Allah!, ku mohon kepada-MU kesudahan dari kisah hidup anakku, Ya Allah! hamba-Mu yang banyak berdosa lagi hina ini memohon ampun dari-Mu, Ya Allah! kurniakanlah yang terbaik untuk anakku, andai kematian itu yang terbaik untuknya, sungguh aku redha, kerana dia, aku, maupun isteriku semuanya milikMU, namun seandainya ada takdir lain untuknya, ku mohon KAU sembuhkanlah anakku, sungguh aku redha dengan ketentuanMU"..demikian doa saya dalam tahajud pada malam berikut
Keesokannya 21 Oktober 2008
"Abang, Dr telefon beritahu keadaan Ammar kritikal, Dr minta datang segera"..beritahu isteri saya melalui telefon
Ada orang nak hantar tak? tanya saya,
Saya khuatir kerana isteri saya baru sahaja habis pantang, ditambah lagi dengan keadaan emosi yang tak stabil, amat bahaya untuk memandu
"Tiada", tungkas isteri saya, semua kerja.
"Tapi kereta ada" tambahnya.
Tiada apa yang mampu menahan naluri seorang ibu untuk bertemu anaknya, andai ada badai maupun taufan yang datang menyerang tika itu, saya yakin, pasti akan diredahnya
Isteri saya memandu kereta sendirian, saya pasrah sambil berdoa. Dia memandu dengan linangan air mata, sedangkan saya hanya berdoa dari jauh
Sebuah pengorbanan dari seorang isteri yang akan saya kenang sehingga syahid menjemput saya.
"Bagaimana keadaan Ammar Dr?", tanya isteri saya kepada Dr disitu.
semua soktor di wad pediatrik itu sudah mengenali Ammar kerana dia yang paling 'senior' disitu.
"Kritikal!, cuma bergantung pada bantuan oksigen"..jawab Dr
"Saya sudah hendak cabut bantuan pernafasan, cuma menunggu parentnya tiba"..sambung Dr menerangkan.
Meledaklah tangisan isteri saya, mujur ada kakaknya yang bertugas sebagai Dr praktikal tika itu menenangkannya.
Tidak lama kemudian, Ibu dan ayah tiba, semuanya sudah dibenarkan masuk ke ICU tersebut, yang sebelum ini hanya dikhususkan untuk parent sahaja.
Kaki Ammar sudah mula sejuk, tapak kakinya terasa kebas, mukanya sudah mula pucat, Malaikat Maut sedang berusaha mencabut nyawa si Mujahid kecil ini..
Akhirnya,
tepat jam 1646, di pangkuan ibu saya, Mujahid kecil Muhammad Ammar Ar-Ridho pergi menemui Rabbnya, pemergian yang hakiki bertemu penciptanya..
Sungguh kau telah pergi wahai mujahidku,
Menemui Rabb yang menciptakanmu,
Hanya satu pinta Abi dan Ummi,
dapat bersamamu di syurga nanti.
Demikian saya dedikasikan sejuta tahniah dan kebanggaan yang tidak terhingga buat isteri saya yang benar benar tabah mengharungi semua ini seorang diri.
Untuk isteri saya,
Ammar telah pergi meninggalkan kita, JANNAH sudah pasti menjadi tempat permainannya, namun dimanakah kita ketika itu??, Adakah bersamanya atau sebaliknya??..berusahalah untuk merebut Jannahnya, mudahan mudah dapat bertemu Di Sana...
Sekian, wallhua'lam
sempena setahun kelahiran Mujahid Ammar Ar-Ridho yang telah pergi menemui Rabbnya pada 21 oktober 2008 bersamaan 21 syawal 1429H
sumber:http://hafidzyusoff.blogspot.com